Nabi Zakaria, ayahnya
Nabi Yahya sedar dan mengetahui bahawa anggota-anggota keluarganya,
saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya dan anak-anak saudaranya adalah
orang-orang jahat Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar
hukum-hukum agama dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa
keagamaan mereka belum meresap betul didalam hati mereka, sehingga
dengan mudah mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran
dan kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya tiba dan meninggalkan mereka
tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan pimpinannya atas kaumnya,
bahawa mereka akan makin rusak dan makin berani melakukan kejahatan dan
kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka mengadakan
perubahan-perubahan di dalam kitab suci Taurat dan menyalah-gunakan
hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran
Zakaria disamping rasa sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga
mencapai usia sembilan puluh tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan
seorang anak yang ia idam-idamkan untuk menjadi penggantinya memimpin
dan mengimami Bani Isra'il. Ia agak terhibur dari rasa sedih dan
kekhuatirannya semasa ia bertugas memelihara dan mengawasi Maryam yang
dapat dianggap sebagai anak kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa
sedihnya dan keinginanya yang kuat untuk memperolhi keturunan tergugah
kembali ketika ia menyaksikan mukjizat hidangan makanan dimihrabnya
Maryam. Ia berfikir didalam hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil
di dalam kekuasaan Allah. Allah yang telah memberi rezeki kepada Maryam
dalam keadaan seorang diri tidak berdaya dan berusaha, Dia pula
berkuasa memberinya keturunan bila Dia kehendaki walaupun usianya sudah
lanjut dan rambutnya sudah penuh uban.
Pada suatu malam yang
sudah larut duduklah Zakaria di mihramnya menghiningkan cipta memusatkan
fikiran kepada kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa dengan
khusyuk dan keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut
berucaplah ia dalam doanya: "Ya Tuhanku berikanlah aku seorang putera
yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian dari keluarga Ya'qub, yang
akan meneruskan pimpinan dan tuntunanku kepada Bani Isra'il. Aku
khuatir bahawa sepeninggalanku nanti anggota-anggota keluargaku akan
rusak kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati tanpa seorang
pemimpin yang akan menggantikan aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi
lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban sedang isteriku adalah seorang
perempuan yang mandul namun kekuasaan-Mu adalah diatas segala kekuasaan
dan aku tidak jemu-jemunya berdoa kepadamu memohon rahmat-Mu
mengurniai kau seorang putera yang soleh yang engkau redhai."
Allah
berfirman memperkenankan permohonan Zakaria: "Hai Zakaria Kami memberi
khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh seorang putera bernama
Yahya yang soleh yang membenarkan kitab-kitab Allah menjadi pemimpin
yang diikuti bertahan diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan serta
akan menjadi seorang nabi." Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku bagaimana
aku akan memperolehi anak sedangkan isteri adalah seorang perempuan
yang mandul dan aku sendiri sudah lanjut usianya."
Allah
menjawab dengan firman-Nya: "Demikian itu adalah suatu hal yang mudah
bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan engkau padahal engkau di waktu itu
belum ada sama sekali?" Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku, berilah aku
akan suatu tanda bahawa isteri aku telah mengandung." Allah berfirman:
"Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata dengan manusia
selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah
nama-Ku sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah diwaktu petang dan pagi
hari."
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh
Al-Quran kecuali bahawa ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia masih
kanak-kanak dan bahawa ia seorang putera yang berbakti kepada kedua ora
ng tuanya dan bukanlah orang yang sombong durhaka. Ia terkenal cerdik
pandai, berfikiran tajam sejak ia berusia muda, sangat tekun beribadah
yang dilakukan siang dan malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan
badannya dan menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya
cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai
soal-soal keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat
bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian dalam
mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula
menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran
dan melawan kebathilan. Ia selalu menganjurkan orang-orang yang
telah berdosa agar bertaubat dari dosanya. Dan sebagai tanda taubatnya
mereka dipermandikan { dibaptiskan } di sungai Jordan, kebiasaan mana
hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan kerana Nabi
Yahya adalah orang pertama yang mengadakan upacara itu, maka ia
dijuluki "Yahya Pembaptis".
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa
Palestin pada waktu itu mencintai anak saudaranya sendiri bernama
Hirodia, seorang gadis yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan ramping
dan berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya dan
seluruh anggota keluarga menyentujui rencan perkahwinan itu, namun Nabi
Yahya menentangnya dan mengeluarkan fakwa bahawa perkahwinan itu tidak
boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan syariat Musa yang
mengharamkan seorang mengahwini anak saudaranya sendiri.
Berita
rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya yang
melarangnya tersiar di seluruh pelosok kota dan menjadi pembicaraan
orang di segala tempat di mana orang berkumpul. Herodia si gadis cantik
calon isteri itu merasa sedih bercampur marah terhadap Nabi Yahya yang
telah mengeluarkan fatwa mengharamkan perkahwinannya dengan bapa
saudaranya sendiri, fatwa mana telah membawa reaksi dan pendapat
dikalangan masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa bapa saudaranya
Herodus calon suami dapat terpengaruh oleh fatwa Nabi Yahya itu dan
terpaksa membatalkan perkahwinan yang sudah dinanti-nanti dan
diidam-idamkan, bahkan bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa
pakaian mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah
disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi
masyarakat itu, Herodia tidak tinggal diam. Ia berusaha dengan
bersenjatakan kecantikkan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa
saudaranya calon suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan menurut
rencana. Dengan merias diri dan berpakaian yang merangsang, ia pergi
mengunjungi bapa saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara.
Bertanya Herodus kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak
lebih cantik daripada biasa : "Hai manisku, apakah yang dapat aku
berbuat untukmu. Katakanlah aku akan patuhi segala permintaanmu,
kedatanganmu kemari pada saat ini tentu didorong oleh sesuatu hajat
yang mendesak yang ingin engkau sampaikan kepadaku. Sampaikanlah
kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku, aku sedia melayani segala
keperluan dan keinginanmu."
Herodia menjawab: "Bila Tuan Raja
berkenan, maka aku hanya mempunyai satu permintaan yang mendorongku
datang mengunjungi Tuanku pada saat ini. Permintaanku yang tunggal itu
ialah kepala Yahya bin Zakaria orang yang telah mengacau rencana kita
dan mencemarkan nama baik Tuan Raja dan namaku sekeluarga di segala
tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal kepalanya. Alangkah puasnya
hatiku dan besarnya terima kasihku, bila Tuanku berkenan meluluskan
permintaanku ini". Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan
hatinya oleh kecantikan dan keelokan Herodia tidak berkulik menghadapi
permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat berbuat selain tunduk
kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara hati nuraninya dan
panggilan akal sihatnya. Demikianlah maka tiada berapa lama dibawalah
kepala Yahya bin Zakaria berlumuran darah dan diletakkannya di depan
kesayangannya Herodia yang tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa
hasratnya membalas dendam terhadap Yahya telah terpenuhi dan rintangan
utama yang akan menghalangi rencana perkahwinannta telah
tersingkirkan, walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas
dirinya, diri rajanya dan Bani Isra'il seluruhnya.
Cerita
tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran,
surah Maryam ayat 2 sehingga ayat 15, surah Ali Imran ayat 38 senhingga
ayat 41 dan surah Al-Anbiya' ayat 89 sehingga ayat 90
0 Komentar
Silahkan berkomentar sesuai dengan judul artikel,
Kritik dan saran sangat membantu saya dalam memeperbaiki blog ini.
Terima kasih atas kunjungan anda...